‘Awang Besul’ harimau yang mati tinggalkan nama


AWANG Besul, harimau liar yang berkeliaran di sekitar Kampung Besol Lama, Bukit Bes, Dungun, Terengganu baru-baru ini akhirnya disahkan mati.

Mungkin mahu menyongsang pepatah Melayu, spesies Harimau Malaya berusia lima tahun itu barangkali menyimpan niat tutup usia meninggalkan nama, bukan sekadar belang.

Awang Besul mengalami kecelaruan 
Niat itu mungkin telah terkota, Awang yang mengalami kecelaruan minda menjadi harimau paling terkenal zaman ini. Namanya telah tercatat di media sosial dan dada-dada akhbar.

Sejak ‘kunjungan’ pertamanya, Awang terus menjadi perhatian ramai. Bukan kerana naluri pemangsanya, tetapi jinak yang sangat bertentangan dengan sifat semula jadi seekor harimau.

Tiada satu orang pun tercedera dengan kemunculan Awang, paling-paling cuma disapa dengan jilatan mesra-nya.

Bagi penduduk kampung yang pernah berdepan detik ‘bertuah’ cerita tentang Awang bakal diwariskan kepada anak cucu untuk zaman-berzaman. Raja rimba itu mungkin telah dianggap sebagai sahabat oleh mereka. 

Hubungan unik itu sekali lagi akan menyebabkan nama Awang Besul disebut sampai bila-bila.


Canine Distemper 


Tak tahu dimana silapnya, Awang Besul si harimau liar dengan berat kira-kira 130 kilogram sah jangkiti virus “Canine Distemper”

Penyakit yang pertama kali didengar masyarakat itu disebabkan oleh virus yang menyerang haiwan domestik seperti anjing atau lain-lain hidupan liar termasuk harimau.

Ketika ditangkap PERHILITAN
Berbanding Rabies (Penyakit Anjing Gila), haiwan yang dijangkiti Canine Distemper akan menunjukkan tingkah laku tidak takut kepada manusia seperti kebiasaan.

Awang yang telah jadi ‘mesra’ tidak ada harapan banyak untuk sembuh.

“Kebarangkalian harimau untuk sembuh adalah sangat tipis. Kemungkinan virus itu disebarkan oleh haiwan liar di sekitar kampung tempat ia ditangkap” kata Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam satu kenyataan sebelum ini. 

Begitulah lemah makluk ciptaan tuhan sekalipun bergelar raja rimba.


Lepas Mahkota


Setelah beberapa waktu berkeliaran keliling kampung membuat penduduk teruja dalam takut, harimau jantan itu akhirnya ditangkap pada Jumaat lalu.

Kemudiannya Awang dikuarantinkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak… Awang dibawa pergi jauh dari dari habitatnya dengan harapan untuk sembuh.

Kita telah membaca, bagaimana ketika itu keadaannya sangat menyedihkan. Awang bukan sahaja mengalami dehidrasi malah keradangan mata dan cedera di kaki.

Tidak sekadar itu, pemeriksaan dan pemantauan rapi di pusat itu antara 20 Julai hingga 23 Julai lalu menunjukkan ada tanda klinikal neurologi pada si belang itu.

Selamat Jalan Awang 
Awang didapati tidak agresif, berpusing satu arah apabila berjalan, sawan dan jangkitan saluran pernafasan.

Demi nyawa Awang, pelbagai usaha intensif merawat dan menyelamatkannya sudah dijalankan. Pasti petugas telah berhempas pulas.. mereka menyayangi sahabat baru itu, namun Awang akhirnya terpaksa jua pergi meninggalkan kita.

Entah apa yang ingin Awang sampaikan tak ada yang tahu. Awang mungkin mahu memberi amaran betapa dia dan kawan-kawannya sedang terancam, habitatnya telah ditolak jentera, dia kelaparan.

Atau si belang mahu berbisik pada kita “Jika aku boleh melepaskan mahkota ganasnya dan berubah jadi pemangsa yang jinak, mengapa manusia masih mahu terus haloba dihujung usia mereka. Mengejar-ngejar pangkat dan harta?

Bukankah kita begitu rakus membelah dan menceroboh hutan? Manusia biasanya nampak jinak, tapi buas dan bersikap pemangsa.

Post a Comment

0 Comments