Sawah terbiar akan dibangun semula untuk tingkat pengeluaran beras - Mohamad Sabu

USAHA membangunkan semula tanah sawah terbiar untuk penanaman padi bakal ditumpukan sebagai usaha kerajaan meningkatkan Tahap Sara Diri Beras Negara (SSR).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Haji Mohamad Sabu berkata, kementeriannya mengenal pasti beberapa negeri yang mempunyai kawasan sawah terbiar antaranya di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
 
"Kita harap dengan mengusahakan kembali sawah terbiar usaha ini akan meningkatkan SSR yang ketika ini hanya pada 56.2 peratus yang mana lebih 40 peratus beras masih perlu diimport dapat dipertingkatkan dalam masa lima ke 10 tahun akan datang.

"Kawasan sawah itu akan dimajukan dengan sokongan kerajaan dan kerajaan negeri sama ada secara syarikat atau dalam bentuk berkelompok," katanya.

Mohamad berkata begitu ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Kebangsaan Kumpulan Pengguna Air (KPA) 2024 di Vivatel Hotel di Kuala Lumpur pada Selasa.

Kerajaan menyasarkan untuk mencapai Kadar Sara Diri (SSR) beras masing-masing sebanyak 75 peratus pada 2025 dan 80 peratus pada tahun 2030 dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Dasar Agromakanan Negara 2021-2023 (DAN2.0).

Beberapa usaha telah dilaksanakan bagi meningkatkan pengeluaran beras negara termasuk dengan meneroka kawasan-kawasan berpotensi di Sabah dan Sarawak untuk dibangunkan sebagai jelapang padi negara.

Malah melalui Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Projek Penanaman Padi Lima Musim Dua Tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Fasa 1, akan dimulakan dengan kos RM1 bilion dengan keluasan hampir 11,000 hektar.

Sementara itu Mohamad berkata, masalah sawah terbiar berlaku berikutan generasi muda berhijrah ke bandar dan tidak mahu mewarisi pekerjaan turun-temurun selain didorong oleh perubahan iklim yang tidak menentu.


Post a Comment

0 Comments