JABATAN Pemahaman dan Pemantapan Agama Keadilan (JPPA) menempelak pihak yang cuba mempersoal keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengambil gajinya sebagai Perdana Menteri.
Pengerusinya, Amidi Abdul Manan berkata keputusan Anwar untuk tidak mengambil gaji adalah tidak bertentangan dengan ajaran Islam sama ada dari sudut niat mahupun pelaksanaannya.
Justeru sekiranya ada pihak mempersoalkan keikhlasan niat Anwar, pihak itu jelasnya seolah-olah berlagak seperti tuhan yang lebih tahu berbanding malaikat dan nabi berkaitan isi hati manusia.
“Abdul Hadi mengkritik tindakan Perdana Menteri tidak mengambil gaji. Katanya ia tidak wajar kerana tidak selari dengan amalan Rasulullah SAW. Beliau menggunakan istilah lebih daripada Rasulullah SAW.
“?Jika itu yang dimaksudkan, ia membawa erti tindakan Perdana Menteri tidak mengambil gaji adalah tidak selari dengan ajaran Islam,” kata Amidi.
Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas pada Selasa menyindir Perdana Menteri dengan membayangkan Anwar ingin dilihat lebih baik berbanding Nabi Muhammad.
Walaupun tidak menyebut nama Anwar secara khusus, Ahli Parlimen Marang itu menghalakan kenyataannya ke atas “orang” yang cuba menunjukkan kesolehan dengan menolak gaji.
Sebagai rekod, Anwar sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022 memutuskan tidak mengambil gaji sebagai perdana menteri dan menteri kewangan selagi ekonomi negara tidak pulih sepenuhnya.
Malah dalam satu acara pada November lalu, beliau menegaskan walaupun tidak mengambil gaji bagi jawatan tersebut, elaun sebagai Ahli Parlimen disandangnya adalah mencukupi.
"Para ulama berpandangan menjadi satu keharusan jika aajir (pekerja) tidak mengambil upah atas tujuan tertentu daripada musta’jir (majikan).
“Perbuatan tidak mengambil upah juga boleh dilihat sebagai suatu sedekah jika cukup syaratnya sama ada sedekah untuk pihak lain ataupun sedekah kepada majikannya,” tambah Amidi.
0 Comments