Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia 2030 dilancarkan

KERAJAAN MADANI pada Selasa melancarkan Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia 2030 merangkumi tiga matlamat utama, 10 strategi, dan 24 inisiatif.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.berkata, pelan tersebut melibatkan 13 kementerian sebagai peneraju, dengan kerjasama 76 rakan kolaborasi.

Berasaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)  yang bertujuan menyokong visi RMK13 bagi Malaysia yang lebih maju dan mampan, ia jelasnya akan menjadi garis panduan bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta kementerian lain, jabatan dan agensi, badan bukan kerajaan, dan pihak swasta dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi belia

"Secara keseluruhannya, pelan ini bertujuan memperkukuh kesejahteraan dan kualiti hidup belia melalui perluasan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran, pendigitalan, kelestarian, serta literasi kewangan dan pengurusan kredit.
 
"Antara sasaran yang ditetapkan menjelang 2030 termasuk peningkatan purata gaji belia kepada RM3,152 serta pengurangan kadar pengangguran belia kepada 6.5 peratus dan penurunan peratusan belia yang tidak bekerja, tidak berpendidikan, dan tidak mengikuti latihan (NEET) kepada 8.9 peratus," katanya.

Terdahulu beliau melancarkan pelan berkenaan dan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) di Bangunan Parlimen pada Selasa.

Mesyuarat itu turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli.

Sementara itu sebagai mengulas mesyuarat yang diadakan beliau berkata, Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia 2023 (MyMHI’23) menjadi salah satu agenda utama dalam mesyuarat berkenaan.

Dibangunkan oleh KBS dengan kerjasama United Nations Children’s Fund (Unicef) akan menjadi alat pengukuran utama untuk menilai tahap kesihatan mental belia berumur antara 15 hingga 30 tahun di Malaysia.

"Skor Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia 2023 adalah pada tahap sederhana iaitu 71.91.

“Secara keseluruhan majoriti belia tidak terdedah dengan pengalaman negatif seperti penderaan dan buli sepanjang kehidupan mereka,”

“Indeks ini sangat signifikan terutama dalam konteks cabaran sosial dan ekonomi yang dihadapi oleh generasi muda, dan wajar dijadikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) nasional,” katanya.
 

Post a Comment

0 Comments