KETUA Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli Abd Halim berharap sesi pemilihan perwakilan ke Parlimen Belia dapat diadakan secara lebih terbuka.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan menyatakan harapan itu susulan kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul bahawa Parlimen Belia akan ditampilkan dengan format baharu dengan proses berkenaan dijangka diadakan suku pertama tahun hadapan.
Jelas Adam Adli, menerusi kaedah berkenaan, lebih ramai golongan muda dapat dilibatkan dalam sesi tersebut sekali gus membuka banyak ruang untuk perbahasan.
“Saya kira (golongan muda) yang terpilih untuk mewakili kawasan masing-masing pada Parlimen Belia (boleh) menggunakan peluang berkenaan untuk tajamkan perbahasan.
“Gunakan ruang itu untuk meneroka idea-idea yang boleh membangunkan masyarakat, lebih kritikal, dan yang paling penting adalah tidak perlu terikut-ikut dengan teladan yang tak baik dalam Parlimen biasa,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Fit Malaysia Parlimen Hang Tuah Jaya 2024 @ Melaka Wonderland pada Ahad.
Terdahulu media melaporkan, antara rombakanyang akan dilaksana ialah sistem pengundian mirip pilihan raya umum (PRU) serta pencalonan perwakilan akan dipilih dalam kalangan mahasiswa universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di seluruh negara.
Johari juga memberi bayangan jumlah perwakilan Ahli Parlimen Belia akan diperluas kepada 222 anggota berbanding hanya 100 orang ketika ini.
0 Comments