KERAJAAN MADANI terus giat berusaha untuk memastikan penyelewengan terhadap minyak masak bersubsidi dapat ditangani.
Sepanjang Januari hingga Oktober sebanyak 25 syarikat pembungkusan minyak masak subsidi ditarik semula kuota manakala 13 syarikat lain digantung kuota susulan pelbagai kesalahan dan pelanggaran ke atas syarat ditetapkan
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh dipetik laporan media berkata, kementerian sentiasa memantau ketirisan selain meningkatkan pemeriksaan, naziran dan pengauditan ke atas syarikat pembungkus minyak masak bertujuan mengekang ketirisan terus berleluasa.
"Hasil daripada pemantauan dan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan, pihak Kementerian turut mengesan aktiviti penyelewengan di peringkat pengilang dan pembungkus, iaitu penghantaran bekalan minyak masak dialihkan ke pasaran komersial melalui pemalsuan dokumen.
"Di samping itu, pengedaran bekalan minyak masak daripada pemborong kepada peruncit turut didapati diseleweng dengan kaedah penipuan dokumentasi yang sama.
"Penarikan dan penggantungan kuota adalah salah satu bentuk tindakan punitif yang dikenakan kepada syarikat pembungkusan kerana melanggar syarat-syarat pemegang kuota sebagai peserta di bawah Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS)."katanya.
Sementara itu tambah Fuziah sebanyak 60,000 metrik tan (MT) sebulan bersamaan dengan 60 juta polibeg minyak masak diberikan subsidi kepada 32.7 juta rakyat Malaysia setiap bulan.
Agihan pula jelasnya dilaksana dengan mengikut bilangan penduduk sesebuah negeri dengan kadar penggunaan satu individu bersamaan dengan 1.5 kg minyak masak sebulan.
"Jumlah dan pengagihan itu sepatutnya mencukupi untuk menampung keperluan domestik minyak masak bersubsidi bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
"Namun, ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menyeleweng sebahagian subsidi yang diperuntukkan kerajaan terutama minyak masak," katanya sambil menyifatkan penyelewengan berterusan minyak masak subsidi sebagai 'sabotaj' kepada kerajaan selain penganiayaan terhadap kebajikan rakyat berpendapatan rendah di negara ini.
0 Comments