KEMENTERIAN PENDIDIKAN mengambil perhatian serius isu kehamilan remaja termasuk di luar nikah yang didedahkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, pihaknya dari semasa ke semasa akan memberikan tumpuan kepada pemerkasaan maklumat dan advokasi kepada guru dan murid berkait kesihatan reproduktif termasuk menggunakan Modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) mulai Kurikulum Persekolahan 2027 bagi menangani isu itu.
Jelasnya, kurikulum Pendidikan Kesihatan di peringkat prasekolah hingga menengah itu mampu melengkapkan murid dengan maklumat dan kemahiran, khususnya kecekapan psikososial untuk membuat keputusan dalam kehidupan harian.
"Saya ingat keprihatinan kita sama dengan KPWKM apabila bercakap soal kehamilan di luar nikah. Kita beri tumpuan penuh kepada agenda-agenda pendidikan, khususnya yang terkait rapat dengan kesihatan reproduktif.
"Begitu juga, dari semasa ke semasa, kita menjalankan program berkait advokasi membabitkan isu kesihatan reproduktif. Ini termasuk program bersama KPWKM," katanya.
Fadhlina berkata begitu kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Minggu STEM Universiti Sains Malaysia (USM) 2024, di George Town pada Ahad.
Terdahulu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan, berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM), katanya, sebanyak 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan sejak lima tahun lalu dan daripada jumlah itu, 17,646 kehamilan membabitkan remaja belum berkahwin.
Bercakap pada Forum Advokasi Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial di Kuching, Nancy Shukri juga berkata, isu perkahwinan bawah umur, buang bayi dan pengguguran tidak selamat di negara ini juga makin membimbangkan.
Sementara itu menurut Fadhlina mengulangi komitmen pihaknya untuk terus menangani isu gangguan seksual, isu kesihatan gadis serta sentuhan selamat dan tidak selamat melalui program-program diatur secara rentas kementerian termasuk KPWKM.
0 Comments