KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersedia terbabit dalam sesi libat urus untuk meneliti pindaan membabitkan Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525) berkaitan unsur nadir bumi (REE).
Timbalan menterinya Liew Chin Tong berkata, pindaan yang sedang diusahakan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) itu penting bagi memastikan perundangan berkaitan mineral itu relevan untuk situasi semasa sekaligus memberikan keyakinan kepada pelabur.
"MITI bersedia melihat kepada aspek obligasi perjanjian perdagangan antarabangsa dalam memastikan pembangunan industri hiliran REE diberi keutamaan di atas dasar kepentingan negara.
"Pindaan yang berkesan akan memberikan kejelasan dalam dasar. Pelabur memerlukan kepastian di peringkat rangka kerja perundangan sebelum membuat keputusan untuk melabur," katanya pada sesi Kamar Khas, Dewan Rakyat pada Khamis.
Mengulas lanjut beliau yang juga Ahli Parlimen Kluang berkata, pindaan akta yang menangani isu-isu alam sekitar, pengurusan sumber dan tadbir urus akan memberi isyarat positif kepada pelabur terhadap komitmen Malaysia pembangunan industri REE yang mampan dan bertanggungjawab.
Ia sekaligus akan dapat membina keyakinan pelabur dan menarik lebih banyak pelaburan domestik dan asing dalam industri tersebut.
Sementara itu Liew memberitahu, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan pada November 2024 bagi membincangkan isu-isu serta menetapkan hala tuju pembangunan industri REE di Malaysia.
Ia bagi memastikan pembangunan menyeluruh rantaian nilai industri REE termasuk pembangunan ekosistem industri yang lebih holistik dan bersepadu.
"Special task force (pasukan petugas khas) ini berperanan melihat daripada aspek berkaitan pelaburan, teknologi dan insentif termasuk penyelidikan dan pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I).
"Tiga Jawatankuasa Teknikal ditubuhkan melalui special task force ini yang akan membincangkan pembangunan industri REE peringkat huluan yang diterajui oleh NRES; pembangunan industri peringkat pertengahan dan hiliran yang diterajui oleh MITI serta teknologi termasuk penyelidikan dan pembangunan, pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) yang diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ," katanya.
0 Comments