Program keilmuan, agama disemarakan mulai tahun depan - EXCO Selangor

LEBIH banyak program bersifat keilmuan dan keagamaan dirancang pada tahun hadapan di negeri Selangor terutama bagi menangkis pengaruh buruk media sosial yang semakin berleluasa.

Untuk tujuan itu, sebanyak RM500,000 telah disediakan bagi penganjuran program-program melibatkan setiap lapisan masyarakat
 
“Kita akan kembang dan dalamkan lagi subjek wacana tahun depan kepada setiap lapisan masyarakat bermula dengan wakil rakyat diikuti imam serta nazir di kampung-kampung.
 
“Dana sudah ada iaitu RM500,000 untuk setahun. Kita akan susun program. Sebagai contoh kita akan teruskan program kembara masjid Selangor yang juga ada kenduri rakyat,” kata EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah.

Beliau sebelumnya hadir ke  seminar kesedaran perundangan Islam di Malaysia di Pusat Konvensyen Shah Alam yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam (Jais) Datuk Shahzihan Ahmad.

Seminar sulung menampilkan tiga ilmuan anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor yang diadakan semalam itu menampilkan tema Islam dalam perlembagaan dan cabaran Islam sebagai agama Persekutuan.

Sebagai rekod, Selangor diketuai KEADILAN merupakan negeri terkedepan memperkasa syiar Islam melalui pelbagai program antaranya Festival Turath Islami Selangor bagi memantapkan budaya keilmuan sekali gus memperkukuh akidah umat Islam dan membentuk masyarakat yang lebih baik.

Selain itu menerusi Belanjawan Selangor 2025, sejumlah RM4.5 juta diperuntuk bagi membaik pulih sekolah agama demi keselamatan dan keselesaan pelajar di negeri itu.

Selangor juga adalah negeri tunggal yang memberikan Insentif Haji Muassasah berjumlah RM1,000 kepada jemaah haji dari negeri itu sebagai meraikan serta meringankan beban kewangan golongan tersebut.

Post a Comment

0 Comments