Malaysia berhasrat bina dua kilang proses REE dalam tempoh tiga tahun

KERAJAAN memutuskan bahawa industri unsur nadir bumi (REE) perlu dibangunkan di Malaysia supaya negara tidak hilang peluang mendapatkan pelaburan dalam bidang berteknologi tinggi itu.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, sehubungan itu kerajaan jelasnya akan memastikan proses pengembangan industri  itu di negara ini dilakukan secara serentak mengikut keperluan industri.

"Ini untuk memastikan pemain industri dapat bersedia untuk terlibat dan meneroka peluang yang ada dalam industri nadir bumi di Malaysia," katanya.

Beliau sebelumnya menyampaikan ucapan di persidangan bertemakan 'Accelerating Net-zero: Opportunities for Hard-to-abate Industries In ECER' anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Kuala Lumpur pada Khamis.

Sementara itu menurut Rafizi, kerajaan berhasrat Malaysia mempunyai dua kilang pemprosesan REE dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Bagaimanapun jelasnya industri REE dikuasai secara dominan oleh negara China dengan dasar negara itu bahawa mereka tidak membenarkan pemprosesan REE di luar negara.

"Jadi, ini adalah antara perkara-perkara yang perlu diuruskan oleh kerajaan dan saya ingat hasrat kerajaan untuk mewujudkan kilang pemprosesan di Malaysia itu akan berterusan dan menjadi agenda yang penting di peringkat negara dan rundingan-rundingan ini akan terus berlaku," katanya.

Persidangan semalam yang diadakan melalui kerjasama Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (MAJECA) bertujuan menyelaraskan matlamat Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebagai hab pembangunan REE

Sebagai pengguna utama REE dalam komponen kenderaan elektrik (EV) dan pembuatan berteknologi tinggi, Jepun menawarkan kerjasama strategik untuk mengoptimumkan sumber REE ECER serta memenuhi permintaan global yang semakin meningkat terhadap bahan kritikal itu.

"Kalau tidak, mineral ini akan di eksport ke China, yang mana satu harga dia rendah. Keduanya ia akan habis dengan cepat dan ketiga kita akan hilang peluang untuk mendapatkan pelaburan ke dalam Malaysia yang berteknologi tinggi," jelas Rafizi mengapa industri itu perlu dijalankan di Malaysia.

Post a Comment

0 Comments