Kit Duta Sahsiah dilancarkan, galak nilai positif dalam kehidupan seharian pelajar

KEMENTERIAN PENDIDIKAN (KPM) melancarkan Kit Duta Sahsiah sebagai satu inisiatif kerajaan untuk membangunkan pendidikan karakter pelajar sekaligus menangani isu disiplin di sekolah.

Pelancaran kit tersebut dibuat secara serentak di seluruh negara melibatkan 10,235 sekolah, 146 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), 16 Jabatan Pendidikan Negeri dengan disempurnakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di HGH Convention Centre Sentul pada Isnin.

Ia merupakan kesinambungan kepada usaha KPM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)  memperkenalkan program Duta Sahsiah Pemangkin Pembentukan Karakter Karamah Insaniah pada Oktober tahun lepas.

"Peluncuran Kit Duta Sahsiah ialah satu inisiatif bertujuan memperkasakan murid yang telah dilantik sebagai duta sahsiah, iaitu individu yang mempunyai teladan positif dalam mempromosikan nilai-nilai murni, seperti disiplin, integriti dan tanggungjawab bagi mempengaruhi rakan sebaya dalam komuniti mereka.

"Ia disediakan dengan perancangan yang teliti dan mengandungi pelbagai modul latihan dan bahan rujukan yang meliputi aspek komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah,” kata Fadhlina melalui ucapan perasmiannya.

Kit tersebut dilengkapi alat bantu, seperti poster, risalah dan kad aktiviti yang boleh digunakan untuk mendekati komuniti pelajar secara kreatif dan berkesan.

Sementara itu Fadhlina yang juga Ketua Wanita KEADILAN berkata, beliau amat  terkesan dengan isu-isu yang mencengkam kehidupan golongan pelajar termasuk kes bunuh diri, kesihatan mental, buli dan amang seksual.

Sehubungan itu beliau berharap dengan peluncuran kit berkenaan, pelajar akan menjadikan nilai-nilai, seperti integriti, tanggungjawab dan rasa hormat sebagai asas dalam setiap tindakan dan keputusan mereka, lebih-lebih lagi dalam keadaan gejala sosial yang semakin meluas termasuk di media sosial.



 

Post a Comment

0 Comments