Cadangan pemeriksaan untuk perbaharui lesen warga emas perlu kajian teliti

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN (MOT) menyambut baik cadangan supaya warga emas berusia 65 tahun ke atas menjalani penilaian kompetensi dan kesihatan sebagai syarat untuk memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM).

Bagaimanapun menurut Menterinya, cadangan itu memerlukan penelitian lanjut sebelum sebarang ketetapan dibuat mengenainya supaya tidak memberikan implikasi yang negatif.

"Itu kita kena kaji dulu laporan (cadangan) tersebut. Kita tidak terburu-buru untuk meletakkan apa-apa syarat tambahan.

"Sudah tentu ada implikasinya dan kita kena lihat kelebihan dan kekurangannya apabila apa-apa syarat tambahan (baharu) diletakkan,” katanya.

Beliau sebelumnya mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) di Sepang pada Isnin.

Media sebelum ini melaporkan peningkatan kes kemalangan jalan raya melibatkan pemandu warga emas di negara ini boleh dikurangkan jika syarat tambahan bagi pembaharuan lesen memandu untuk golongan tersebut diperkenalkan.

Antara syarat yang boleh diusulkan ialah warga emas berusia 65 tahun ke atas yang masih ingin memandu, perlu melakukan penilaian kompetensi dan kesihatan, berikutan tiada had umur maksimum untuk golongan itu memandu di jalan raya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diberi mandat penuh menangani isu kenderaan berat membawa muatan berlebihan yang dikenal pasti sebagai antara punca utama berlakunya kemalangan jalan raya.

Pihaknya sedang meneliti untuk melaksanakan pindaan terhadap undang-undang iaitu Akta Pengangkutan Jalan bagi memperkasakan lagi penguatkuasaan supaya lebih efektif, khususnya terhadap lori yang membawa lebih muatan.

“Kemalangan melibatkan lori ini semakin menjadi-jadi, kita akan terus laksanakan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran terhadap lori yang membawa lebihan muatan ini.

"Tindakan menggantung operasi dan menarik lesen akan diambil jika terdapat kes serius berlaku misalnya melibatkan pemandu warga asing," katanya.

 

Post a Comment

0 Comments