PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara-negara Kumpulan 20 (G20) untuk menilai semula keutamaan global dengan menyalurkan sumber ke arah memerangi kelaparan dan kemiskinan.
Pada sesi pertama Sidang Kemuncak G20 bertemakan "Memerangi Kelaparan dan Kemiskinan," di Brazil pada Selasa beliau menegaskan, ketidaksamaan ekonomi telah merampas sumber penting daripada negara-negara di Global South.
Kelemahan tadbir urus, kurangnya iltizam politik serta sikap negara kaya membiayai senjata dan konflik berbanding menangani isu kritikal terus memerangkap komuniti dalam kemiskinan dan kelaparan.
"Bagi memutuskan kitaran ganas ini, punca-punca asas yang menyumbang kepada keadaan ini perlu ditangani. Kegagalan tadbir urus dalam kalangan negara adalah salah satu faktor utama.
"Ini sering dikaitkan dengan rasuah yang menjejaskan kantung kewangan negara, sekali gus meminggirkan golongan miskin dan lemah," katanya seperti dilapor.
Pada ucapannya Perdana Menteri turut menekankan keperluan sistem kewangan yang lebih adil, tadbir urus yang lebih baik dan pengagihan semula sumber global untuk menangani isu-isu kemanusiaan yang mendesak.
Beliau memberi contoh ketika berlakunya pandemik COVID-19 pada 2021, peruntukan Hak Pengeluaran Khas (SDR) sebanyak AS$650 bilion (RM2.91 trilion) yang sepatutnya digunakan untuk membantu semua negara, hampir dua pertiga peruntukan itu hanya dinikmati negara maju.
"Ini meninggalkan baki kecil untuk negara miskin yang lebih memerlukan.
"Alih guna sumber yang salah seperti ini mesti dihentikan jika kita serius mahu menghapuskan kelaparan dan kemiskinan secara efektif," tegas Anwar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan sementara itu turut menyeru reformasi dalam sistem kewangan antarabangsa.
Merujuk sistem diwarisi daripada institusi Bretton Woods, ia jelasnya hanya memberi manfaat kepada golongan kaya dan berkuasa, berbanding golongan miskin dan terpinggir.
"Walaupun kapitalisme adalah sihat, kapitalisme tanpa kawalan menjadi punca utama kepada ketidaksamaan kekayaan yang melampau," katanya sambil menyarankan agar pengalaman China dalam membasmi kemiskinan dijadikan rujukan, dengan mengambil kira keperluan sosioekonomi setiap negara.
Dalam pada itu, sebagai mengulas peranan sebagai Pengerusi ASEAN 2025 Anwar menyatakan komitmen Malaysia untuk bekerjasama dalam usaha membina kapasiti, meningkatkan daya tahan, mengurangkan kemiskinan, dan memperbaiki tadbir urus di rantau ini.
"Perjuangan menentang kelaparan dan kemiskinan memberi kesan langsung kepada pembangunan manusia. Komitmen bersama terhadap matlamat ini akan membawa kepada dunia di mana kelaparan dan kemiskinan dihapuskan, serta semua manusia dapat berkembang maju," kata Anwar.
0 Comments