LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyediakan peruntukan RM200,000 bagi membantu kira-kira 2,000 nelayan Zon A di Terengganu, Kelantan dan Pahang yang terjejas susulan musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.
Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata, selain bantuan dalam bentuk bakul makanan itu, kerajaan MADANI turut menyalurkan bantuan lain kepada nelayan terjejas.
"Selain elaun sara hidup yang disalurkan setiap bulan, LKIM juga menyediakan peruntukan khas yang akan disalurkan dengan segera kepada nelayan terkesan banjir atau bencana lain dalam tempoh MTL
"Kedatangan MTL sudah pasti akan menjejaskan sumber pencarian nelayan kecil kerana mereka tak dapat turun ke laut akibat cuaca buruk serta laut bergelora," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan peralatan menangkap ikan berjumlah RM50,000 kepada 31 nelayan kawasan Marang pada Program Rahmah Mesra Madani Bersama Nelayan di LKIM Marang. Kuala Terengganu pada Selasa.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Faiz memaklumkan stok simpanan ikan bagi menampung kegunaan orang ramai sepanjang musim MTL dijangka mencukupi.
LKIM dengan kerjasama beberapa syarikat swasta jelasnya telah menyediakan sebanyak 1,600 tan matrik stok ikan sejuk beku simpanan di Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) untuk bekalan sehingga MTL dijangka berakhir Mac tahun depan.
"Selain itu ada juga stok yang disimpan oleh syarikat swasta lain yang bergerak sendirian. Mereka juga menyimpan bekalan dan mengimport ikan dari luar.
"Oleh itu tidak timbul isu kenaikan harga ikan pada musim tengkujuh. Setakat pemantauan pihak LKIM, harga ikan masih stabil dan peniaga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati pada musim tengkujuh," tambahnya.
0 Comments