Pengaruh diplomatik Malaysia meningkat dibawah pentadbiran PM Anwar

MALAYSIA mencatatkan peningkatan ketara dalam peningkatan pengaruh diplomatiknya, menurut Laporan Indeks Kuasa Asia edisi 2024.

Laporan oleh Lowy Institute 2024 itu menyatakan kedudukan Malaysia untuk kepimpinan serantau meningkat dua anak tangga ke kedudukan ke-12, dan kepimpinan global naik satu tempat iaitu ranking ke-15.

"Malaysia mencatatkan peningkatan 9.1 mata di belakang Filipina yang mempunyai peningkatan 12.1 mata.

"Kedua-duanya (Malaysia dan Filipina) diketuai oleh pemimpin baharu dan aktif secara diplomatik," menurut laporan itu.

Indeks Kuasa Asia tahunan oleh Lowy Institute mengukur sumber dan pengaruh yang menentukan kedudukan kuasa relatif negara di Asia melalui lapan ukuran kuasa, 30 subukuran tematik dan 131 penunjuk,

Lebih separuh daripada penunjuk ini melibatkan penyelidikan asal Lowy Institute, manakala selebihnya diambil daripada ratusan sumber nasional dan antarabangsa yang boleh diakses secara umum.

Edisi 2024 merupakan penilaian paling komprehensif mengenai perubahan pengagihan kuasa di Asia setakat ini apabila ia turut memasukkan Timor-Leste buat kali pertama, mencerminkan kepentingannya yang semakin meningkat berikutan kemungkinan penyertaannya dalam Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada tahun-tahun akan datang.

"Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim juga jauh lebih aktif di peringkat antarabangsa.
 
"Bersama menteri luar, Anwar mengadakan 72 mesyuarat dua hala dengan negara dalam Index, meningkatkan kedudukan Malaysia daripada tempat ke-11 ke tempat ke-5 dalam indikator aktiviti diplomatik ini," tambah laporan itu.



Post a Comment

0 Comments