LKAN 3/2023: prestasi kewangan kerajaan lebih baik, catat lebihan hasil

KERAJAAN PERSEKUTUAN mencatatkan prestasi kewangan lebih baik pada tahun 2023 berbanding 2022.

Laporan Ketua Audit Negara 3/2023 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2023 yang di bentangkan dalam Dewan Rakyat pada Isnin, prestasi kewangan mencatatkan peningkatan lebihan hasil sejumlah RM2.028 bilion dan penurunan defisit sejumlah RM8.595 bilion.

“Baki defisit Kumpulan Wang Pembangunan sejumlah RM10.217 bilion menunjukkan penurunan sejumlah RM1.734 bilion (14.5 peratus) berbanding RM11.951 bilion pada tahun 2022.

"Ini menjadikan nisbah defisit negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun kepada 5.0 peratus pada 2023 berbanding 5.5 peratus pada tahun 2022.

“Bagaimanapun, kerajaan Persekutuan perlu memberi perhatian terhadap trend peningkatan liabiliti persekutuan yang terdiri daripada hutang persekutuan dan liabiliti kewangan yang meningkat sejumlah RM92.038 bilion (6.6 peratus) kepada RM1.492 trilion berbanding RM1.400 trilion pada tahun 2022,” kata laporan itu.

Berhubung pengurusan liabiliti Persekutuan, laporan tersebut menunjukkan trend peningkatan dengan nisbah liabiliti Persekutuan kepada KDNK meningkat kepada 81.8 peratus berbanding 78.0 peratus pada tahun 2022.

Nisbah hutang Persekutuan kepada KDNK pada tahun 2023 pada kedudukan 64.3 peratus juga meningkat berbanding 60.2 peratus pada tahun 2022.

Manakala, nisbah statutori hutang kepada KDNK adalah 62.1 peratus pada tahun 2023 berbanding 57.5 peratus pada tahun 2022, menurut laporan itu.

“Jabatan Audit Negara (JAN) mengambil maklum inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan bagi memastikan pengurusan hutang Persekutuan yang berhemat, terutamanya menerusi pembaharuan fiskal dengan kelulusan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850] di Parlimen pada 11 Oktober 2023.

“Kerajaan Persekutuan juga telah mengambil langkah rasionalisasi dan konsolidasi defisit secara berperingkat dengan unjuran defisit fiskal kepada 4.3 peratus kepada KDNK pada tahun 2024,” tambah laporan itu.

Post a Comment

0 Comments