Jumlah pinjaman Kerajaan Persekutuan sebenarnya berkurang - Menteri Kewangan II

KERAJAAN berjaya mengekang peningkatan jumlah pinjaman bersih sekali gus mengurangkan pertumbuhan hutang negara.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, usaha itu telah dilaksana melalui konsolidasi fiskal secara tegas dan berperingkat,

Melalui ucapan di Dewan Rakyat pada Selasa beliau berkata, jumlah pinjaman Kerajaan Persekutuan pada 2023 sebenarnya berkurang kepada RM226.595 bilion berbanding RM230.949 bilion pada 2022.

"Defisit fiskal berjaya dikurangkan secara konsisten. Jumlah pinjaman bersih dijangka terus berkurang iaitu dari RM99.4 billion pada 2022 kepada RM92.5 billion pada 2023.

"Trend ini dijangka akan terus berkurangan sekitar RM86 bilion pada 2024," katanya sebagai penggulungan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2023.

Teks ucapan itu dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh susulan Amir Hamzah mengalami keradangan saluran kerongkong atau laringitis.

Sementara itu beliau turut menjelaskan, RM241.509 bilion yang dinyatakan di dalam LKAN 3/2024, sejumlah RM8.776 bilion merupakan premium bersih yang dilaraskan kepada Akaun Penyelesaian Premium/ Diskaun Sekuriti Kerajaan.

RM6.138 bilion pula merupakan transaksi 'switch auction', iaitu kaedah yang digunakan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai strategi pengurusan hutang untuk mengurangkan risiko pembiayaan semula.

"Kaedah ini tidak akan meningkatkan jumlah pinjaman secara keseluruhan memandangkan ia hanya melibatkan pertukaran kertas hutang dengan amaun prinsipal yang sama di antara kerajaan dan pemain pasaran," tambahnya.

Sebagai mengulas komitmen kewangan kerajaan yang meningkat RM0.139 bilion kepada RM285.634 bilion dan komitmen jaminan yang mengembang RM3.288 bilion kepada RM227.404 bilion berbanding 2022, beliau menyatakan ia  adalah komitmen hutang syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun yang secara khususnya melaksanakan obligasi sosial.

"Kerajaan turut memastikan Liabiliti Persekutuan terkawal melalui langkah-langkah seperti penetapan had nilai kuantiti yang perlu dipatuhi mengikut ketetapan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850].

"Kerajaan juga memastikan kadar pembiayaan dana oleh Pertubuhan Perbadanan yang dijamin adalah dalam lingkungan harga yang rendah; membatalkan beberapa fasiliti jaminan yang masih belum dimanfaatkan dari semasa ke semasa; dan memastikan Pertubuhan Perbadanan yang dijamin mempunyai keupayaan kewangan bagi tujuan bayaran balik pembiayaan dan seterusnya tidak memberi beban kepada kerajaan.

"Langkah-langkah tersebut akan turut diimbangi dengan usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan hasil pendapatan negara serta pelaksanaan rasionalisasi subsidi," tambah teks ucapannya.



Post a Comment

0 Comments