GISBH: tahanan ramai, asas kerajaan guna SOSMA lengkapkan siasatan

LANGKAH  kerajaan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dalam siasatan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) susulan ia melibatkan jenayah serius.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sesi  Penerangan Menteri mengenai isu GISBH di Dewan Rakyat pada Selasa berkata, kes itu yang membabitkan jumlah tahanan yang ramai memerlukan akta itu diguna pakai bagi melengkapkan siasatan.

“Kita menggunakan kaedah biasa namun saiz tangkapan begitu ramai. Kita akan minta reman, kemudian mahkamah akan memberikan tujuh hari, kita belum selesai, kita minta tambahan, mahkamah beri tujuh hari, ada yang beri lima hari, kita minta tambahan lagi, ada mahkamah bagi tiga hari dan ini tidak sempat habis kerana jumlah yang ramai.

“Jadi ia sesuai untuk kita gunakan Seksyen 130V Kanun Keseksaan bagi membolehkan selepas tamat tempoh reman, kita guna pakai SOSMA,” katanya

Terdahulu beberapa Ahli Parlimen mempersoalkan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan ahli kumpulan GISBH di bawah akta tersebut.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) antaranya menyifatkan tindakan seumpama itu tidak cermat berikutan kumpulan itu bukan sebuah pertubuhan yang dikaitkan dengan elemen keganasan.

Sebagai rekod, empat negeri iaitu Perlis, Selangor, Pahang dan Melaka sudah memfatwakan GISBH sebagai sesat kerana terdapat amalan persamaan dengan ajaran Al-Arqam yang difatwakan haram pada era 90-an.
 
Sementara itu di Dewan Rakyat Saifuddin turut mendedahkan siasatan pihak berkuasa mendapati kepercayaan Aurad Muhammadiah yang diwarisi sejak era Al-Arqam dulu masih diamalkan ahli dan pengikut GISBH.

Maklumat itu diperoleh hasil pengakuan individu yang ditahan pihak berkuasa.



Post a Comment

0 Comments