Agenda noktah kemiskinan tak pinggir mana-mana kaum - PM Anwfar

AGENDA pemerkasaan ekonomi oleh Kerajaan MADANI akan dilaksanakan dengan adil tanpa meminggirkan mana-mana kaum di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu termasuk yang melibatkan usaha-usaha untuk pemerkasaan ekonomi kaum India.

"Saya sebut hal ini ini kerana kita (kerajaan) buat semua ini, tiada langsung penghargaan. Yang ada hanyalah seolah-olah kita tidak peduli.

"Siapa kata (kerajaan) tidak peduli? KSN (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar) ada dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. Dalam mesyuarat kalau saya kata miskin tegar, saya kata untuk semua," tegasnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata begitu pada ucapan Perasmian Pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Heawood di Sungai Siput pada Ahad.

Majlis perasmian itu turut dihadiri  Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Menyentuh mengenai usaha yang telah dijalankan beliau berkata,  kerajaan menyalurkan peruntukan menerusi program Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional untuk semua kaum manakala Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang sebelum ini 100 peratus untuk membantu kaum Melayu dan bumiputera, juga telah diperluas kepada kaum India.

"Saya kata apa salahnya beri ruang kepada masyarakat India yang miskin... ambil mereka, latih dan beri peluang (berniaga) kepada mereka.

"Di Semenanjung berapa jumlah paling miskin? Siapa? Melayu, tetapi dalam kategori masyarakat termiskin ada juga orang India, mereka itu warganegara, rakyat kita... saya sebagai Perdana Menteri, itu tanggungjawab saya (bantu)," tambahnya.

Sementara itu Anwar mahu rakyat berbilang kaum di negara ini menjauhi serta tidak terpengaruh golongan atau individu disifatkan sebagai pelampau kaum masing-masing khususnya apabila sesuatu tuntutan kepada kerajaan belum dipenuhi.

"Jangan terbawa-bawa sentimen orang-orang yang melampau. Ada Melayu yang melampau sekarang, ada Cina yang melampau dan ada India yang melampau... (jika) kita benarkan orang-orang ini naik, hancur negara kita.

"Sebab itu kita mesti ambil jalur tengah, berunding dengan baik... ada perselisihan bincang dengan baik dan gunakan ruang supaya berikan pandangan," katanya.



Post a Comment

0 Comments