PM seru Malaysia maju seiring toleransi dan tadbir urus baik

 

SEBAGAI sebuah negara berbilang kaum dan agama, Malaysia perlu terus mempamerkan keupayaan untuk berkembang maju seiring semangat toleransi dan tadbir urus yang baik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  berkata,  Malaysia telah berjaya memupuk toleransi dan perpaduan dalam kalangan masyarakat  dan sekaligus menunjukkan bagaimana negara majoriti Islam boleh mentadbir dan mengukuhkan ekonominya dengan berkesan.  

"Dalam dunia di mana terdapat begitu banyak defisit, dari segi amanah, percanggahan, hipokrasi, perkauman, fanatik agama..

"Malaysia perlu berupaya mempamerkan kehebatannya sebagai negara berbilang kaum, berbilang agama yang berjaya, melalui tadbir urus yang baik.

"Melalui toleransi dan khususnya dengan penduduk majoriti Islam, ia boleh ditampilkan bahawa, majoriti Islam boleh membantu mengurus negara dengan tadbir urus yang baik dan menyediakan ekonomi," katanya dipetik temu bual bersama wartawan terkenal British-Amerika Mehdi Hasan baru-baru ini.

Sementara itu Anwar berkata, dalam dunia yang semakin kompleks, dengan cabaran seperti pendigitalan dan peralihan tenaga, tumpuan harus diberikan kepada isu sebenar dan mendesak.
 
"Keutamaan mesti termasuk meningkatkan kualiti pendidikan, menyediakan penjagaan kesihatan yang lebih baik, dan menangani isu-isu penting yang lebih mendesak, bukannya membincangkan topik yang pembangkang tahu tidak akan dilaksanakan," tambahnya.

Ditanya pandangannya mengenai undang-undang hudud di Malaysia, perdana menteri menegaskan  hudud sering digunakan sebagai alat politik, khususnya semasa pilihan raya.

"Apabila berkuasa, mereka (pembangkang) mendakwa 'hudud bukan keutamaan kami sekarang.' Jelas sekali bagi mereka, ia lebih kepada muslihat politik. Dalam Islam, kita mesti menangani keutamaan, dan bagi saya, keamanan dan keselamatan diutamakan," katanya.



Post a Comment

0 Comments