MCCBCHST terima baik penjelasan kerajaan berhubung isu penempatan pegawai JAKIM

ISU penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di kementerian dan jabatan kerajaan yang sebelum ini dibangkitkan Majlis Perundingan Malaysia Bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh Dan Taoisme (MCCBCHST) telah diselesaikan dalam suasana harmoni.

Ia susulan pertemuan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan wakil MCCBCHST pada Rabu.

Mohd Na'im dipetik laporan media berkata, susulan pertemuan itu, MCCBCHST telah menerima baik penjelasan berkenaan peranan Perkhidmatan Pegawai Kader Hal Ehwal Islam yang ditempatkan di agensi kerajaan.

Selepas sesi penerangan, pertubuhan itu telah memahami peranan pegawai JAKIM terutamanya dalam memantapkan kefahaman dan meningkatkan motivasi kerja berasaskan penghayatan terhadap nilai-nilai murni dalam perkhidmatan demi mencapai produktiviti organisasi ke arah merealisasikan tadbir urus terbaik.

Sementara itu, Kementerian Perpaduan Negara melalui satu kenyataan berkata, pertemuan tersebut juga telah menemui kata sepakat antara semua wakil dan pemimpin agama Islam bahawa Biro Pengurusan Isu dan Mediasi bakal dimanfaatkan dalam mencari solusi kepada isu, permasalahan atau polemik.

"Sangat penting bagi kita untuk terus mendidik diri dan masyarakat mengenai kepelbagaian agama dan budaya.

"Melalui pendidikan, kita dapat membina kesedaran lebih mendalam dan menghapuskan tanggapan negatif yang boleh memburukkan lagi keadaan," kata menterinya.

Sebagai rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 Sept lalu mengarahkan agar pertemuan itu diadakan bagi mendengar pandangan MCCBCHST dan menyatakan pendirian kerajaan sekaligus mengelakkan salah faham isu tersebut.


Post a Comment

0 Comments