Kerajaan Perpaduan komited tingkat ekonomi komuniti India

TIMBALAN MENTERI Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan menyatakan komitmen Kerajaan Perpaduan meneruskan usaha memperkasakan ekonomi komuniti India di negara ini.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata,  kerajaan sudah melaksana pelbagai inisiatif bagi tujuan itu termasuk Skim Pembiayaan Pemerkasaan (SPUMI) Goes Big, Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) dan Prosperity Empowerment and A New Normal (PENN) yang telah menunjukkan kejayaan serta prestasi memberangsangkan.

Secara keseluruhannya, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperuntukkan tambahan RM130 juta untuk komuniti India di negara ini, dalam tempoh empat bulan lalu.

"SPUMI Goes Big di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional  mendapat sambutan cukup baik.Setakat minggu lalu sebanyak RM10 juta diagihkan kepada 202 usahawan.

"Tambahan sebanyak RM30 juta  diperuntukkan daripada bajet sedia ada menjadikan keseluruhan peruntukan untuk usahawan masyarakat India berjumlah RM60 juta dan ia terbesar sejak SPUMI diwujudkan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

SPUMI Goes Big dilancarkan pada 3 April lalu bertujuan untuk memperkasa, menggemilangkan dan menggalakkan kemajuan usahawan masyarakat India dalam bidang keusahawanan.

Sementara itu menurut Ramanan, bagi program BRIEF-I pula, sebanyak RM27 juta diagihkan kepada 322 usahawan India, sejak dilancarkan pada 5 Jun.

"Program PENN di bawah Amanah Iktihar Malaysia (AIM) yang dilancarkan pada 13 April lalu turut mendapat sambutan cukup baik. RM14 juta daripada RM50 juta yang diperuntukkan, diagihkan kepada 1,250 usahawan wanita India, setakat minggu lalu," tambahnya.

Ramanan dalam pada itu turut menyatakan komitmennya untuk memantau semua inisiatif tersebut dari semasa ke semasa untuk memastikan kejayaan dan menangani kelemahan yang ada.

Pada masa yang sama, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) juga jelasnya buat julung kalinya akan menganjurkan Persidangan Koperasi India untuk memperkasakan lagi perjalanan dan hala tuju Koperasi India di negara ini.

Persidangan Koperasi India itu dijangka diadakan pada bulan depan.

Post a Comment

0 Comments