Selangor FC cadang heret MFL ke mahkamah timbang tara

KELAB BOLA SEPAK SELANGOR (Selangor FC) dijangka akan mengheret Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ke mahkamah timbang tara sukan.

Ia berikutan hukuman melampau dikenakan badan itu kepada pasukan itu baru-baru ini yang dikritik banyak pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sukan, Mohd Najwan Halimi berkata, Selangor FC sudah melantik peguam dan akan terus membuat rayuan serta membawa ke peringkat lebih tinggi.

“Ini kerana sesuatu (hukuman) MFL sebelum ini lebih keras tetapi apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah baru ada pertimbangan.

“Tetapi Selangor FC masih lagi akan teruskan rayuan dan bawa ke peringkat lebih tinggi,” katanya di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Terdahulu DUN Selangor pada Jumaat sebulat suara meluluskan usul tergempar mengecam perbuatan ekstrem dan keganasan yang mengancam nyawa serta karier atlet terutamanya bola sepak.

Usul dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang Abbas Salimmi Che Adzmi itu yang antara lain mendesak siasatan menyeluruh ke atas kes simbah asid melibatkan pemain kebangsaan dan Selangor FC Muhammad Faisal Abdul Halim, telah dibahaskan oleh lima Ahli Dewan Negeri (ADN).

Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita dengan keputusan ahli-ahli Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung kes ketidakhadiran Selangor FC ke Perlawanan Piala Sumbangsih, 10 Mei lalu yang berkaitan insiden menimpa Muhamad Faisal.

Hukuman asal MFL antaranya denda RM100,000 dan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025 dan perlawanan menentang pasukan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan dimainkan tanpa penonton dianggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.

Susulan kemurkaan Sultan Sharafuddin, Ahli Lembaga Pengarah MFL kemudian telah mengurangkan hukuman yang dikenakan terhadap Selangor FC.

Post a Comment

0 Comments