Kerajaan kecewa komitmen penyedia platform media sosial tangani buli siber

KEMENTERIAN KOMUNIKASI tidak berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh penyedia platform dalam mengendali aduan berkait buli siber.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya akan bertemu dengan semua penyedia platform media sosial di Malaysia pada akhir bulan ini bagi memperincikan pengurusan perkara berkenaan.

“Pertemuan itu nanti akan turut disertai MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimdia Malaysia), Jabatan Peguam Negara serta pihak berkepentingan lain untuk kita lihat dan teliti perkara ini berdasarkan aduan-aduan yang telah diterima.

“Kita mahu perubahan yang menyeluruh, mahu penyedia platform lebih bertanggungjawab dan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang yang ada di negara ini, mereka sudah meraih banyak keuntungan daripada hasil pengiklanan, jadi sekiranya ada apa-apa (aduan) mereka wajib ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata begitu kepada pemberita selepas melawat Konvensyen Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan meninjau kemudahan perfileman di Kompleks Studio Merdeka Finas di Ampang pada Sabtu.

Ketika diminta mengulas kes tular membabitkan seorang pempengaruh di aplikasi TikTok yang didakwa membunuh diri kerana tertekan berhadapan buli siber, Fahmi berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.

“Di pihak MCMC, saya boleh sahkan bahawa sebelum ini pempengaruh itu ada membuat aduan tetapi ingin saya tekankan ia berkaitan isu lain dan tiada kena-mengena dengan kes buli siber yang (didakwa) menjadi punca kepada tragedi kematiannya.
 
“Bagaimanapun, isu-isu seperti inilah yang menjadi sebab kenapa pihak kementerian mahupun kerajaan bersungguh-sungguh mahu meneliti atau memantau aspek kandungan di media sosial dan hubungannya dengan pengurusan platform,” tambahnya.

Sementara itu beliau turut menegaskan komitmen kerajaan dalam memperkasakan keselamatan dalam talian terutama melibatkan kanak-kanak dan keluarga yang antara lain membabitkan isu penipuan, kesalahan jenayah seksual, judi dalam talian serta buli siber.

Post a Comment

0 Comments