2 hospital di Sabah bakal naik taraf berstatus Hospital Negeri

KEMENTERIAN KESIHATAN (KKM) selesai melaksana 15 projek naik taraf klinik dan fasiliti kesihatan daif di Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah itu sebahagian dari 58 kemudahan kesihatan yang terlibat proses penambahbaikan itu yang membabitkan peruntukkan berjumlah RM21.5 juta.

Daripada jumlah tersebut, 43 kemudahan sedang dalam proses pelaksanaan dan dijangka dapat disiapkan menjelang penghujung bulan November tahun ini.

Selain itu, kerajaan turut akan menaik taraf Hospital Tawau dan Hospital Dutches of Kent Sandakan kepada status hospital negeri (Hospital Utama Berpakar) yang setaraf dengan Hospital Queens Elizabeth (QEH) di Kota Kinabalu.

“Ia bagi merapatkan jurang fasiliti kesihatan yang agak besar dengan jumlah kepakaran bakal mengisi perjawatan termasuk jumlah jururawat yang ditempatkan selepas selesai menjalani latihan asas (post basic training),” katanya.

Dr Dzulkefly berkata begitu ketika ditemui media pada program Madani Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia – Sabah Maju Jaya, Negeri Sabah 2024, di Tawau pada Sabtu.

Mengulas mengenai program itu, Dr Dzulkefly berkata Sabah adalah negeri pertama yang melaksanakan program MADANI Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bagi tahun 2024 dan mendapat sambutan memberangsangkan daripada masyarakat.

Penganjuran program itu bertujuan, merakyatkan (KKM) dengan merealisasikan reformasi kesihatan dalam Tonggak Kedua, Kertas Putih Kesihatan 2023 yang menyarankan peralihan fokus penyampaian perkhidmatan kesihatan daripada ‘sick care’ kepada ‘health care’.

Post a Comment

0 Comments