Penyasaran semula subsidi beri kesan tangani penyeludupan diesel

PENGAMATAN pasukan penguatkuasaan di lapangan menunjukkan aktiviti penyeludupan diesel di sempadan Semenanjung semakin berkurangan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, adalah tidak mustahil penyeludupan bahan api itu telah berjaya dikekang susulan langkah penyasaran semula subsidi diesel oleh kerajaan berkuatkuasa Isnin lalu.

"Berdasarkan dapatan, daripada pengamatan pasukan di lapangan sempadan negara menunjukkan aktiviti dipercayai berkait dengan penyeludupan semakin berkurangan .

"Dapatan juga menunjukkan, di beberapa stesen minyak di Rantau Panjang (Kelantan) dan di Wang Kelian (Perlis), aktiviti terutama membeli minyak diesel berkurangan," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di Putraya pada Rabu.

Harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula 10 Jun iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

Susulan penetapan semula harga itu, kerajaan menyalurkan kembali subsidi diesel secara bayaran tunai bulanan kepada individu yang layak menerusi inisiatif BUDI MADANI.

Manakala syarikat pengangkutan yang layak menerima subsidi melalui mekanisme ‘fleet card’ dibawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Sementara itu Fahmi memaklumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  telah meminta agar isu berkaitan SKDS 2.0 di bawah KPDN diteliti dan sekiranya boleh, fleet card diedarkan secepat mungkin kepada semua pemohon.

"Peringatan juga diberikan kepada mereka yg memohon fleet card tapi belum lagi menerimanya untuk simpan resit dan ikut proses atau mekanisme yang diumumkan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengenai tatacara mendapatkan semula subsidi diesel bagi kenderaan yang telah didaftarkan dalam SKDS,” katanya.

Post a Comment

0 Comments