SEMUA ahli Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diseru terus mengekalkan perpaduan dan meneruskan perjuangan yang dibina sejak 25 tahun lalu.
Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan, sikap pecah-belah antara ahli boleh merosakkan parti yang ditubuhkan dengan semangat reformasi itu.
“Kita (dulu) sama-sama susah jadi saya mahu semua teruskan (teruskan perjuangan) sebab apa yang kita kecapi hari ini adalah hasil perjuangan kita yang terdahulu. Jangan pecah-belah kerana ia hanya akan meretakkan parti.
“Antara yang retak itu pula akan pecah dan yang pecah akan pecah lagi, jadi mari kita sama-sama bina lagi parti ini, Jangan biarkan perjuangan ini mati,” kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada ucapan di Majlis Sambutan 25 Tahun Keadilan Negeri Pulau Pinang di Butterworth pada Sabtu.
Pada majlis itu beliau turut melancarkan Buku Sejarah Reformasi yang mengisahkan perjuangan KEADILAN sejak penubuhan parti itu pada 1999.
KEADILAN akan meraikan sambutan ulang tahun ke-25 penubuhannya dengan menganjurkan satu karnival terbuka di Sentul Depot, Kuala Lumpur pada 11 Mei ini.
Sambutan itu akan diserikan dengan karnival yang disasar menarik pembabitan 10,000 pengunjung itu antara lain akan menyajikan pameran, wacana forum dan pelbagai pengisian menarik yang berkaitan dengan sejarah penubuhan parti.
Selain itu satu majlis kesyukuran turut dirancang sebagai acara sambutan, di samping majlis makan malam bagi meraikan pengorbanan dan sumbangan anggota.
0 Comments