Sanusi ucap terima kasih kepada PM Anwar

MENTERI BESAR KEDAH Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia susulan kesediaan Anwar mendengar dan meneliti permintaan berkaitan projek pembangunan di Kedah yang diutarakan pada Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kedah yang dipengerusikan perdana menteri.

“Perdana Menteri bukan saja memberi maklum balas yang baik terhadap permintaan kerajaan negeri, malah turut memberi kelulusan segera kepada beberapa projek.

“Mana yang perlu kepada perincian daripada kementerian, beliau tanya terus kepada Ketua Setiausaha kementerian terbabit,

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang turun ke negeri-negeri dan hari ini di Kedah agak harmoni,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Aman, di sini.

Perdana Menteri yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Kepala Batas, pada jam 5 petang disambut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Terdahulu, Anwar meluangkan masa lebih sejam mendengar taklimat pembangunan negeri.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; dan Saifuddin Nasution juga hadir.

Post a Comment

0 Comments