MB Selangor sumbang RM99,000 kepada persatuan belia, pelajar cemerlang

PEJABAT Menteri Besar Selangor menyumbang RM99,000 kepada 24 persatuan belia dan pelajar serta sembilan majlis belia daerah di negeri itu.

Datuk Seri Amirudin Shari ketika Majlis Berbuka Puasa bersama Pimpinan Belia dan Mahasiswa Selangor di Shah Alam malam tadi berkata, dana RM3,000 setiap persatuan itu bertujuan memberi dorongan kepada ahlinya bergiat lebih aktif menganjurkan pelbagai program.

Pada ucapannya, Amirudin menitipkan pesan kepada mahasiswa dan generasi muda agar melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.

“Tugas dan peranan saudara sangat penting malahan lebih penting berbanding dengan masa dan waktu sebelum ini kerana setiap kelompok atau generasi kita ada cabaran yang berbeza.

“Hari ini cabaran kita lebih besar kerana berdepan dengan ketidaktentuan situasi politik yang mana ada majoriti generasi muda seolah kurang yakin terhadap masa depan mereka.

“Sebagai pewaris pimpinan masa depan saudara perlu cipta trend bukan ikut trend, ia bukan soal kelompok mana yang harus menang dan diberi kepercayaan tetapi tugas kita adalah memberi keyakinan semula dan mendidik anak muda hari ini mengenai masa depan mereka,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 400 pimpinan belia dan mahasiswa Selangor menghadiri majlis yang diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar itu.

Hadir sama EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Najwan Halimi; Presiden Majlis Belia Negeri Selangor Dato’ Mohd Imran Tamrin dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi.

Amirudin turut berkesempatan menunaikan solat Maghrib berjemaah dan beramah mesra dengan semua hadirin usai majlis berkenaan.

Post a Comment

0 Comments