Langkah perkukuh nilai ringgit sudah dan sedang dilaksana - MOF

KERAJAAN dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah dan sedang mengambil pelbagai langkah segera untuk memperkukuh nilai ringgit .

Kementerian Kewangan (MOF) melalui jawapan bertulus di Dewan Rakyat pada Rabu berkata, langkah segera yang dilaksana termasuk memastikan pasaran pertukaran asing dalam negara kekal teratur selain mengambil langkah yang perlu termasuk campur tangan untuk membendung pergerakan mata wang yang berlebihan.
 
Selain itu, kerajaan akan turut memantau penukaran hasil eksport kepada ringgit oleh syarikat pengeksport di samping meneruskan usaha menggalakkan penggunaan mata wang tempatan untuk penyelesaian eksport bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pergerakan dolar AS.

Kerajaan turut akan mengambil tindakan bersepadu dan terselaras bagi membawa masuk aliran dana ke pasaran pertukaran mata wang asing.

"Secara khususnya, memperkasakan lagi usaha bersama syarikat berkaitan Kerajaan (GLIC dan GLC) bagi menggalakkan mereka membawa pulang pendapatan daripada pelaburan asing dan menukar pendapatan tersebut kepada ringgit dengan lebih konsisten,” kata kementerian itu.

Terdahulu di Dewan Rakyat, seorang Ahli Parlimen meminta MOF menyatakan pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang oleh kerajaan bagi meningkatkan kadar nilai ringgit berbanding dolar .

Dalam jawapan tersebut juga MOF menegaskan, kerajaan juga terus komited dan fokus dalam usaha melaksanakan polisi-polisi struktur bagi mengukuhkan nilai ringgit untuk jangka masa panjang.

Langkah-langkah itu termasuklah dasar menambah baik iklim pelaburan dan produktiviti Malaysia menerusi pelaksanaan Dasar Pelaburan Baharu serta usaha mentransformasikan ekonomi negara yang dipandu oleh Kerangka Ekonomi MADANI.

"Kerajaan juga akan melaksanakan polisi struktur yang berupaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara bagi menarik aliran masuk dana dan pelaburan asing yang berkualiti selain memberi penekanan terhadap kebertanggungjawaban kerajaan dalam menetapkan sebarang sasaran fiskal pada masa hadapan melalui Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850),” kata MOF.

Post a Comment

0 Comments