KEBAJIKAN pekerja gig terutama di kalangan anak muda bakal di negara ini bakal terbela susulan keputusan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Pekerja Gig.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Sabtu berkata, keutamaan suruhanjaya itu untuk memberikan keperluan sosial, pertikaian kontrak dan kemajuan kerjaya.
"Langkah ini diambil kerana majoriti besar belia Bumiputera terlibat dalam pekerjaan gig.
"Sebagai pekerja tidak formal, mereka tidak punyai perlindungan perundangan pekerjaan serta sistem perlindungan sosial," katanya.
Ekonomi gig adalah satu trend pasaran bebas memberi kebebasan kepada syarikat untuk membina platform dengan tenaga kerja (pekerja) gig tanpa perlu menjadi pekerja sepenuh masa seperti mana ditakrifkan mengikut Akta Kerja 1955.
Mengikut rekod, sebanyak 80 peratus daripada 1.12 juta pekerja gig yang berdaftar dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) merupakan golongan anak muda.
Sementara itu, Sekretariat Komuniti Gig Malaysia menyambut baik pengumuman Anwar mengenai penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig.
Pengerusi sekretariat itu, Mohd Sharkar Shamsudin berkata, langkah itu membuktikan Kerajaan Perpaduan memberi perhatian serius terhadap nasib golongan itu yang telah diperjuangkan sejak sekian lama.
“Selama beberapa tahun kegiatan ekonomi gig berjalan, nasib mereka tidak diambil peduli, terutama kerana syarikat penyedia perkhidmatan tidak menganggap penggiat gig sebagai pekerja dan diri mereka sebagai majikan.
“Terima kasih kita ucapkan kepada Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) kerana memberi perhatian serius kepada penubuhan suruhanjaya terbabit dan merealisasikan harapan pekerja gig.
“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi yang begitu komited membela nasib pekerja p-panggilan dan e-panggilan, termasuk dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung Umno sebelum ini,” katanya melalui satu kenyataan.