Malaysia kutuk pembunuhan rakyat palestin tunggu bantuan di Nabulsi

MALAYSUA mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai tentera rejim Israel terhadap rakyat Palestin yang menunggu bantuan penting untuk menyelamatkan nyawa, di Nabulsi di Semenanjung Gaza Utara.

Kementerian Luar (Wisma Putra) melalui satu kenyataan pada Sabtu menegaskan, kerajaan Malaysia kesal terhadap serangan yang membunuh lebih 100 nyawa dan menyebabkan 700 yang lain itu cedera.

“Tindakan Israel menyasarkan rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak dikecam sekeras-kerasnya oleh Malaysia.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja menyalahi undang-undang antarabangsa malah secara terang-terangan melanggar langkah sementara Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 26 Jan dan Konvensyen Genosid 1948,” menurut Wisma Putra.

Justeru itu, Malaysia sekali lagi menggesa supaya gencatan senjata kekal disegerakan bagi menghentikan pembunuhan rakyat Palestin.

Malaysia turut menuntut agar bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan segera kepada yang memerlukan di Gaza tanpa sekatan.
 
“Memandangkan situasi yang semakin meruncing, Malaysia berharap masyarakat antarabangsa memenuhi tanggungjawab kemanusiaan, etika dan undang-undang untuk mengelakkan kehilangan nyawa yang lebih banyak.

“Masyarakat antarabangsa perlu menggesa Israel untuk menghentikan kekejaman dan akur terhadap undang-undang antarabangsa.

“Malaysia tetap berpegang teguh dengan pendirian bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan kepada sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” ujarnya kenyataan tersebut.

Post a Comment

0 Comments