FASALITI kesihatan khusus bagi memberi rawatan kepada pesakit kanser terutama di kalangan kanak-kanak akan ditambah baik dan diperluas.
Timbalan Menteri Kesihatan (KKM) Lukanisman Awang Sauni berkata, langkah itu perlu untuk meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak yang sedang mendapatkan rawatan, selain meningkatkan kesedaran mengenai pendidikan kanser dalam kalangan masyarakat.
“Kanser ialah penyakit yang semakin meningkat di Malaysia, terutama melibatkan golongan kanak-kanak. Lebih 700 kanak-kanak berumur bawah 15 tahun didiagnosis dengan penyakit itu setiap tahun atau secara puratanya dua kanak-kanak setiap hari.
“Namun dengan kemajuan rawatan sedia ada, peluang untuk pesakit kanak-kanak ini pulih, meningkat secara mendadak dengan lebih 70% telah sembuh. Jadi KKM akan mencari kaedah terbaik bagi memberikan rawatan kepada pesakit kanser kanak-kanak ini,” jelasnya.
Lukanisman berkata begitu ketika merasmikan Program Karnival dan Kolokium National Childhood Cancer Alliance 2024 di Kuala Lumpur.
Karnival dan kolokium yang membawa tema “Ketahanan dan Keberanian: Membangun Kembali Kehidupan Pasca Kanser Kanak-Kanak” itu mengetengahkan perjalanan rawatan pesakit kanser kanak-kanak yang telah pulih, termasuk cabaran-cabaran yang dihadapi mereka dan keluarga.
Kira-kira 200 pesakit kanser kanak-kanak turut menghadiri karnival itu bersama ibu bapa mereka.
Dalam ucapannya juga Lukanisman menyeru sektor korporat bekerjasama dengan KKM dalam meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penyakit kanser dalam kalangan kanak-kanak.
“Pesakit kanser kanak-kanak perlu diberikan perhatian seperti kanak-kanak biasa lain, baik dari segi kasih sayang dan pembelajaran. Diharapkan pejuang-pejuang kanser ini dapat menunjukkan kepada orang lain bahawa kanser bukanlah suatu pengakhiran.
“Kepada penjaga kanak-kanak ini, diharapkan mereka sentiasa bersemangat untuk memberikan perhatian dan masa untuk menjaga dan mendidik kanak-kanak ini,” tambahnya.
0 Comments