KEMENTERIAN
KESIHATAN (KKM) akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan
Produk Merokok untuk bacaan kedua di Parlimen pada 10 Oktober depan.
Perkara itu dinyatakan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan media pada Khamis.
"Pembentangan
bacaan kedua RUU di Parlimen adalah suatu bentuk komitmen berterusan
pihak KKM dan Kerajaan Madani dalam memastikan kesihatan dan keselamatan
rakyat Malaysia dilindungi daripada bahaya produk merokok.
"RUU ini telah dibentangkan untuk bacaan pertama pada 12 Jun 2023 dan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan
Khas (JKPK) Kesihatan.
"Penelitian
telah dibuat oleh ahli-ahli JKPK bagi memantapkan RUU ini supaya RUU
ini dapat dibincangkan, diteliti dan disokong oleh kesemua pihak
(bipartisan)," kata Zaliha menerusi kenyataan tersebut.
Dalam
kenyataan sama, beliau berkata pihak JKPK juga telah mengadakan beberapa
sisi mesyuarat dan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan
termasuk KKM.
"Setelah kesemua mesyuarat dan sesi libat urus
ini, terdapat beberapa syor yang telah dikemukakan oleh JKPK dan KKM
menerima baik semua syor-syor yang dicadangkan tersebut.
"Oleh
itu, KKM ingin menyeru seluruh lapisan masyarakat termasuk ahli-ahli
Parlimen, individu, ibu bapa, guru dan tokoh-tokoh masyarakat
bersama-sama memainkan peranan dan menyokong usaha KKM dalam
membentangkan RUU ini dengan menyuarakan sokongan,"tambahnya lagi.