TINDAKAN penceramah Ahmad Dusuki Abdul Rani memuat naik kenyataan di media sosial mendakwa MAIS berbohong dan menjadi pemecah umat Islam serta ejen kepada gerakan liberal dibidas Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata MAIS menegaskan kenyataan Ahmad Dasuki terbabit berunsur fitnah selain dibuat tanpa memahami maksud serta hikmah larangan pembabitan aktivis politik sebagai pemegang tauliah mengajar agama Islam yang dikuatkuasakan di Selangor.
"MAIS menasihatkan masyarakat Islam agar cakna dan memahami maksud dan tujuan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada aktivis politik.
"MAIS menjelaskan bahawa 'aktivis politik' yang dimaksudkan dalam larangan ini tidak terhad kepada orang yang memegang jawatan dalam mana-mana parti politik," katanya dalam kenyataan.
Abdul Aziz sebelum ini menegaskan keputusan Jawatankuasa Tauliah MAIS menarik balik beberapa tauliah membabitkan personaliti penceramah termasuk Ahmad Dasuki berdasarkan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung larangan pemberian tauliah mengajar agama Islam kepada mana-mana aktivis politik.
Ahmad Dasuki yang pernah bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 di kerusi dewan undangan negeri (DUN) Kota Anggerik mewakili parti PAS kemudian mendakwa dia kini tiada jawatan dalam parti politik.
Mengulas perkara itu, Abdul Aziz berkata, larangan itu merangkumi mereka yang menjalankan apa-apa aktiviti secara jelas mengajak dan mempengaruhi masyarakat untuk menyokong atau memihak kepada parti politik tertentu secara terbuka sehingga melahirkan sikap partisan serta fanatik terhadap sesuatu parti politik serta berpuak-puak dalam kalangan masyarakat Islam
"Siasatan yang dibuat dan pengesahan tapisan keselamatan pihak Polis Diraja Malaysia, MAIS mendapati Dusuki tergolong dalam aktivis politik yang dimaksudkan itu," tegas Abdul Aziz.
Dalam pada itu Abdul Aziz sekali lagi menegaskan larangan pembabitan aktivis politik sebagai pemegang tauliah mengajar agama Islam bertujuan bagi menghalang mana-mana pihak menyalahgunakan medan dakwah dan pengajaran agama Islam sebagai gelanggang politik dan penyebaran propaganda politik yang berunsur fitnah dan kebencian kerana ia menjadi punca perselisihan serta perpecahan dalam masyarakat Islam.
"Ini suatu langkah preventif untuk mencegah sebarang mafsadah atau kerosakan daripada berlaku berdasarkan dalil sadd al-zara'i'," katanya.
Beliau turut menegaskan MAIS sentiasa komited untuk memastikan aktiviti dakwah dan pengajaran agama Islam terus subur sebagai medan penyebaran ilmu serta bebas daripada propaganda politik.
"MAIS menasihatkan semua pihak agar sentiasa berhati-hati dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menghina, mengingkari atau mempertikai titah Sultan Selangor atau arahan MAIS kerana ia suatu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995," katanya.
0 Comments