Dua lelaki kena cekup kerana hina didakwa institusi diraja

PIHAK berkuasa polis  dilapor menahan dua lelaki kerana memuat naik hantaran berkaitan institusi diraja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kedua-dua suspek terbabit ditahan dalam serbuan berasingan.

Mereka dipercayai memuat naik hantaran yang cenderung menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap institusi diraja.

Katanya, suspek pertama berusia 41 tahun ditahan di Kampung Sungai Kati, Ipoh, Perak kerana membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap institusi diraja Johor.

“Suspek kedua pula berusia 47 tahun yang ditahan di Langkap, Perak, kerana disyaki memuat naik hantaran mengandungi kenyataan menghina Sultan Selangor,” katanya dalam kenyataan pada Khamis

Kedua-dua suspek menurut Mohd Shuhaily dikenakan reman sehingga 2 September ini bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5 JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu Mohd Shuhaily turut menggesa orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah dengan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan terutama membabitkan isu 3R iaitu (kaum, agama dan raja). 

Post a Comment

0 Comments