PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti pimpinannya itu tidak berhasrat menjalinkan semula hubungan kerjasama dengan parti atau pemimpin yang bermuslihat.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kerjasama politik antara parti harus datang daripada keikhlasan dan bukan manipulasi serta beberapa tindakan yang tidak dialu-alukan yang penuh dengan muslihat.
"Mana-mana pemimpin dan parti yang sangat bermuslihat, saya tidak fikir kita (UMNO) harus revisit hubungan itu," katanya selepas majlis makan malam bersama duta dan wakil dari 29 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Putrajaya malam tadi.
Ahmad Zahid berkata begitu ketika ditanya pemberita untuk mengulas kenyatan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Pas masih untuk meneruskan agenda penyatuan ummah bersama UMNO.
Reaksi Tuan Ibrahim itu adalah sebagai mengulas kenyataan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, yang menyatakan keperluan supaya semangat Muafakat Nasional (MN) dihidupkan kembali, khususnya membabitkan dua parti itu.
0 Comments