PENGUNDI di Pulau Pinang diminta menolak parti yang menggunakan isu sensitif termasuk perkauman dan agama dalam kempen bagi meraih undi.
Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata tindakan sedemikian mengambarkan sikap tidak matang pemimpin parti tersebut yang menggunakan isu dikhuatiri boleh memecah-belahkan perpaduan rakyat semata-mata mahu berkuasa.
"Banyak lagi isu yang boleh digunakan untuk berkempen dan kalau hendak mengkritik kerajaan negeri juga banyak perkara boleh dikritik seperti manifesto (Perpaduan Pulau Pinang 2023) yang kita bentangkan, Visi Penang2030 dan janji semasa pilihan raya 2018.
"Isu-isu ini boleh dikritik habis-habisan tetapi nampaknya mereka tidak dapat mengkritiknya sebaliknya menggunakan isu-isu kaum dan agama untuk meraih sokongan pengundi terutama pengundi Melayu," katanya.
Kon Yeow berkata begitu kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Penang Global Tourism dan Trip.com Group.
Beliau sementara itu turut meminta semua jentera parti bekerja keras dan berkempen habis-habisan bagi memastikan negeri tersebut akan terus ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan.
Pada PRN kali ini, Chow yang mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri Padang Kota yang dimenangi beliau sejak 2008 dicabar oleh H'ng Khoon Leng daripada Perikatan Nasional.
0 Comments