Warisan mahu saman 10 ADUN keluar parti


WARISAN
dilapor dalam proses memfailkan saman terhadap 10 Adun Warisan yang meninggalkan parti itu.

Presidennya Shafie Apdal berkata tindakan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan bekas Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin membayar bon berjumlah RM10 juta kepada KEADILAN kerana meninggalkan parti itu pada 2020.

Jelasnya, kesemua calon parti itu yang bertanding dalam pilihan raya negeri Sabah pada 2020 menandatangani surat perjanjian untuk mengosongkan kerusi sekiranya mereka keluar parti selepas menang dalam pilihan raya itu.

“Semua Adun ini melanggar syarat perjanjian apabila mereka bertindak keluar daripada parti. Justeru, pihak terlibat perlu membayar kos yang ditanggung oleh Warisan yang telah menanggung perbelanjaan mereka sebagai calon dan semasa berkempen.

“Malaysia mempunyai sistem demokrasi undang-undang dan kehakiman di negara ini tidak bersifat belah sebelah,” katanya dipetik lapor Utusan Malaysia.

Sebagai rekod,  Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jun lalu memerintahkan Zuraida Kamaruddin  membayar RM10 juta kepada KEADILAN kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan saman itu selepas mendapati bon tersebut merupakan kontrak yang sah dan mengikat.

Mahkamah juga memerintahkan Zuraidah untuk membayar kos RM50,000.
 

Post a Comment

0 Comments