Sokongan rakyat kuat, PH optimis pertahan tiga negeri

 

PAKATAN HARAPAN (PH) optimis dapat memperkukuh sokongan dan mempertahan kemenangan di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli berkata, keyakinan itu berdasarkan kaji selidik dan data direkodkan terhadap tahap kepuasan pengundi kepada pentadbiran kerajaan PH  di ketiga-tiga negeri dengan Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun meraih peratusan tertinggi iaitu sebanyak 75 peratus.

"Mengikut data daripada Januari hingga Mei, antara soalan paling biasa ditanyakan kepada pengundi dalam kaji selidik itu, adakah mereka menyokong dan berpuas hati dengan kerajaan negeri sedia ada ini?

"Sebanyak 75 peratus pengundi di Negeri Sembilan menjawab, mereka berpuas hati dengan kerajaan negeri yang ada sekarang ini iaitu peratusan paling tinggi daripada keenam-enam negeri, kita doakan keadaan ini berterusan," katanya.

Rafizi berkata begitu pada program Ceramah Jelajah MADANI Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata pengundi terutama berusia 30 tahun keatas memberi sokongan positif kepada pentadbiran PH.

Sementara itu, Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan turut menyatakan keyakinan dapat mempertahan negeri itu.

Katanya, selaras dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan, kekuatan PH dan BN di negeri itu diyakini kukuh untuk terus mentadbir serta memacu ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Rakyat N9 puas hati dengan pentadbiran negeri
Beliau berkata PH dan BN akan turun berkempen di semua kawasan yang ditandingi kedua-dua gabungan itu bagi menggandakan usaha memastikan kemenangan berpihak kepada Kerajaan Perpaduan.

Sebagai rekod, selain Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, PRN akan turut diadakan di Kedah, Terengganu dan Kelantan yang ditadbir oleh PAS.
 

Post a Comment

0 Comments