NAIB PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan tidak merasa menyesal kerana tidak mengikut jejak Azmin Ali keluar parti ketika Langkah Sheraton pada 2020.
Amirudin berkata, walaupun pernah dilabel sebagai pengikut Azmin, beliau membuat keputusan untuk setia dengan KEADILAN ketika berlakunya 'langkah Sheraton' kerana menghormati mandat rakyat.
“Saya dulu dianggap pengikut beliau tetapi saya ambil keputusan setia dengan parti dan hormat mandat rakyat.
“Saya tak menyesal tak ikut (Azmin) jadi pengkhianat. Sebab apa? Sebab demi kemakmuran, kestabilan Selangor,” katanya.
Amirudin berkata begitu ketika berucap di pentas ceramah Jelajah Madani DUN Taman Medan malam tadi.
Amirudin menambah, keputusan kekal bersama KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) adalah tepat kerana gabungan itu mampu mentadbir dengan baik berbanding parti lain.
Ia jelasnya terbukti apabila sumbangan ekonomi Selangor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 25.5% pada 2022, daripada 24.8% pada tahun sebelumnya.
![]() |
Amirudin pertahan mandat diberi rakyat |
Azmin adalah antara 11 Ahli Parlimen PKR yang meninggalkan parti dan PH ketika Langkah Sheraton, peristiwa yang mengakibatkan kerajaan PH pada ketika itu tumbang selepas hanya 22 bulan memerintah.
0 Comments