PH selesai proses senarai pendek calon wanitanya


SAYAP
wanita Pakatan Harapan (PH) telah menyelesaikan proses senarai pendek calonnya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Timbalan Ketuanya Fadhlina Sidek berkata, setakat ini semua rundingan kerusi membabitkan kuota wanita sudah diselesaikan dan pihaknya hanya menunggu kerusi mana yang akan diberikan kepada calon wanita mewakili gabungan tersebut.

"Sepanjang tahun kita senarai pendek, memang sentiasa ada calon jadi kita tidak risau, cuma sekarang ini adalah untuk menentukan kerusi mana (diberikan kepada wanita) dan juga untuk pastikan kemenangan untuk Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas program Korban Perdana Nibong Tebal di Masjid Jamek Al Huda Sungai Bakau, di Nibong Tebal hari ini.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN tidak lama lagi ialah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu

Sementara itu tambahnya, golongan wanita sememangnya mampu membuat perubahan seterusnya menyumbang kepada negara,

Justeru adalah menjadi hasrat Wanita PH untuk melihat lebih ramai wanita diberi peluang untuk bertanding pada PRN dan beliau akan mempertahankan cadangan 30 peratus kuota pimpinan wanita dalam pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi. 

Tunggu keputusan pimpinan atasan
Menyentuh lanjut mengenai persiapan menghadapi PRN, Fadhlina yang juga Ketua Wanita KEADILAN berkata, Juwairiya Zulkifli selaku timbalannya diberikan tanggungjawab sebagai Pengarah Pilihan Raya bagi memastikan kemenangan calon wanita dari parti itu.

"Di peringkat wanita KEADILAN kita telah melantik YB Juwariyah Zulkifli sebagai Pengarah  Pilihan Raya, beliau akan melihat semua segi termasuk kuota, persiapan, pemilihan calon dan memastikan kemenangan calon," katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments