Perbincangan agihan kerusi PH-BN di Selangor sudah diselesaikan - MB

 


PERBINCANGAN berkaitan agihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor sudah selesai, kata Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menteri Besar Selangor itu berkata pihaknya kini menyerahkan kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk berbincang.

"Bagi kami di Selangor telah selesai bincang, selesai bagi kami tapi yang di pusat itu (bagi) mereka akan bincang serta tentukan.

"(Selebihnya), anda boleh tanya PM (Anwar) dan TPM (Ahmad Zahid) kerana (keputusan) sekarang di tangan mereka,” katanya memetik laporan Selangorkini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Taman Tema Air, SplashMania Waterpark di Gamuda Cove di Banting, Selangor hari ini.

Terdahulu, Amiruddin memaklumkan rundingan agihan kerusi antara PH dan BN bagi PRN Selangor dijangka selesai selepas sambutan perayaan Aidiladha.

Pada 23 Jun lalu, Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubar untuk membuka laluan PRN diadakan.

Selangor antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Mengulas mengenai program hari ini, Amirudin berkata taman tema air yang dilengkapi dengan pembangunan dan kawasan komersial itu merupakan tarikan terbaharu di selatan Selangor.

"Taman tema air ini mengalu-alukan kehadiran orang ramai dan ia disokong perkembangan positif industri pelancongan domestik dan serantau.

Kepimpinan atas akan buat keputusan berkait PRN
"Dengan pelancaran hari ini menandakan taman tema air ini beroperasi pada kapasiti penuh dan merupakan satu-satunya di Malaysia yang menawarkan gelongsor realiti maya," katanya.

Taman Tema Air SplashMania berkeluasan 6.47 hektar yang dibina oleh Gamuda Land itu mula dibuka kepada orang ramai sejak Februari lepas dan menawarkan 39 tarikan termasuk 24 permainan gelongsor.

-AA

Post a Comment

0 Comments