KENYATAAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa mempromosikan negara berbilang bangsa bertentangan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berasas dari segi undang-undang, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ramkarpal Singh.
Timbalan Menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang dan reformasi institusi itu berkata, Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 23 tahun, tidak pernah mempertikaikan status Malaysia sebagai negara berbilang bangsa dan kaum dalam tempoh tersebut, malah mengiktiraf perkara berkenaan.
"Tambahan pula, sebagai seorang bekas perdana menteri selama lebih dua dekad, sudah tentunya Mahathir telah mempunyai akses kepada nasihat guaman melalui peguam negara dan oleh yang demikian, sedar akan kedudukan undang-undang berkenaan perkara ini.
"Sebagai seorang negarawan yang berpengalaman, Mahathir sepatutnya sedar betapa pentingnya frasa 'unity in diversity should be our strength and not our shame' (perpaduan dalam kepelbagaian harus menjadi kekuatan kita dan bukan keaiban kita) di Malaysia seperti mana dinyatakan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali dalam kes Indira Gandhi dan mengambil iktibar daripada frasa tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Mengenai dakwaan Mahathir terdapat desakan Malaysia tidak lagi dikenali sebagai negara Islam, Ramkarpal berkata kedudukan agama Islam di Malaysia sebagai agama rasmi persekutuan tidak pernah dipertikaikan seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Malah katanya Mahkamah Persekutuan dalam kes Dhinesh Tanaphll lawan Lembaga Pencegahan Jenayah & Ors pada 2022 menyatakan bahawa Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan berhubung agama merupakan sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh dipinda oleh Parlimen melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, sebarang pindaan sedemikian yang mempunyai kesan mengubah struktur asas Perlembagaan negara adalah tidak berperlembagaan.
"Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan bahawa agama selain agama Islam juga boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
"Ini bermakna, kewujudan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan membuktikan bahawa Malaysia adalah merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama," katanya.
![]() |
Ramkarpal bidas kenyataan dibuat Mahathir |
"Semua peruntukan Perlembagaan Persekutuan di atas, setelah dibaca bersama, mencerminkan pengiktirafan bahawa Malaysia merupakan satu negara yang berbilang kaum, budaya dan agama," katanya.
-AA
0 Comments