Kedah bertukar kerajaan jika penyokong PH-BN satu hati, kata Anwar


PAKATAN HARAPAN
  (PH) dan Barisan Nasional (BN) mampu mengambil alih pentadbiran negeri Kedah sekiranya kedua-dua ahli parti itu dapat menerima calon yang dipilih pimpinan gabungan berkenaan.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata menjadi tugas kepada pimpinan kedua-dua gabungan turut menerangkan perkara itu kepada penyokong agar dapat menerima calon dikemukakan.

Tambahnya, penyokong PH dan BN juga tidak boleh termakan hasutan dan propaganda yang dibawa musuh yang hanya bertujuan memecah belah sokongan mereka ketika ini.

"Satu undi dari ahli Umno kepada musuh adalah pengkhianatan besar kepada bangsa, parti dan agama.

"Itu kena jadi fahaman dan keyakinan kita kerana Islam lebih baik dimartabatkan dalam negara berbilang kaum ini dengan pendekatan dibawa kita (PH dan BN).

"Kalau bawah mereka, keadaan akan lebih menakutkan kerana negara pelbagai kaum dan agama tidak mampu melihat bibit perpecahan dalam kalangan rakyat.

"Sebab itu, saya minta betul-betul dan beritahu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Presiden Umno) berulang kali, tetapkan bahawa kalau calon PH calon kita, calon BN calon kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Padang Awam Pekan Guar Chempedak malam tadi.

Hadir sama Ahmad Zahid, Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Anwar berkata, pimpinan kedua gabungan tidak boleh resah apabila berhadapan agenda lawan selain perlu tahu cara bagi menyelamatkan parti dan negara melalui membina kekuatan bersama.

"Saya yakin kalau PH dan BN dari atas sampai bawah fikir masa depan bangsa dan negara, hindar sentimen lama, hindar propaganda, kita pilih satu dasar yang sederhana yang boleh angkat ekonomi dan jaga semua rakyat atau kita pilih parti yang boleh rosak dan pecah belah masyarakat.

Memontum perubahan dirasai di Kedah
"Pastikan kita bekerjasama sebagai pasukan, memang ambil masa, di atas nampak sudah rapat, di bawah masih resah, di bawah lagi belum.

"Tanggungjawab pimpinan kena ada ketegasan dan keberanian yakin dan sampaikan," katanya.

Post a Comment

0 Comments