DAP Negeri Sembilan sokong Aminuddin Harun jadi MB sepenggal lagi


DAP
  Negeri Sembilan menyatakan pendirian menyokong Pengerusi KEADILAN negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun supaya dikekalkan sebagai Menteri Besar.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri telah membuktikan kemampuannya memimpin kerajaan negeri dengan baik, malah pendirian itu juga akan disampaikan kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Malam ini bagi pihak DAP saya isytiharkan bahawa DAP akan tetap sokong Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar...ini sokongan dan komitmen kami kepada beliau.

"Kita sokong Aminuddin kerana beliau telah buktikan beliau seorang Menteri Besar yang bukan sahaja taat kepada perjuangan, kasih dan prihatin kepada rakyat, negeri, malah adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persediaan PRN DAP negeri, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH juga telah memberikan komitmen yang baik termasuk menjaga kebajikan masyarakat tanpa mengira kaum dan PH akan meneruskannya sekiranya terus diberikan mandat.

Justeru, Loke, yang juga Ahli Parlimen Seremban, berkata masyarakat perlu untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan yang sentiasa menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat bagi memastikan kestabilan kerajaan sekali gus memastikan pelaburan akan terus masuk ke negara ini.

Post a Comment

0 Comments