Tak perlu ceramah atas pentas DAP kalau tak pandai jaga mulut - Anthony Loke

 


DAP hari ini tampil menegaskan kenyataan dibuat bekas Setiausaha Publisitinya Tony Pua yang mengecam Barisan Nasional (BN) sebagai tidak mewakili parti itu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Tony tidak lagi memegang apa-apa jawatan di dalam parti tersebut dan kenyataan dibuatnya adalah atas kapasiti individu.

"Ucapan tersebut yang berunsur serangan terhadap rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dikeluarkan.
 
"Kepimpinan tertinggi DAP telah membuat keputusan dasar untuk bekerjasama dengan gabungan politik lain demi mencapai kestabilan politik.

"Sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti pada masa kini," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Pada Jumaat, Tony yang merupakan bekas Ahli Parlimen Damansara secara 'tiba-tiba' menyerang BN yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai pakatan 'korup'.

Kenyataan itu dibuat pada satu program di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Susulan itu beberapa pemimpin UMNO tampil menyelar tindakan Tony yang dilihat boleh mencalar perpaduan dalam kerajaan.

Kenyataan Tony Pua tak lagi wakili DAP
Mengulas lanjut, Anthony Loke mengingatkan semua pemimpin dan ahli DAP untuk sentiasa menjaga keharmonian dalam hubungan antara parti dan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik yang amat diperlukan pada ketika negara menghadapi pelbagai cabaran luaran.

"Sesiapa dalam DAP yang tidak boleh menjaga mulut mereka dalam perkara ini adalah tidak dialu-alukan sama sekali untuk berucap dalam pentas DAP," tegasnya.
 

Post a Comment

0 Comments