Penting untuk Terengganu seiring dengan Persekutuan - Ahmad Said


TERENGGANU berkemungkinan akan menjadi Kelantan kedua jika UMNO gagal menguasai kerusi dan tewas pada Pilihan Raya negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Said dipetik laporan media berkata, beliau bimbang Terengganu akan ketinggalan dari sudut ekonomi dan pembangunan sekiranya pentadbiran kekal dikuasai Pas sehingga menyebabkan rakyat negeri itu terpaksa berhijrah ke negeri lain untuk bekerja.

UMNO tegasnya perlu menarik kira-kira 20 peratus ahli parti yang menyokong Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kembali menyokong BN dalam PRN nanti.

Katanya, jika BN dan UMNO gagal menarik semula sokongan kira-kira 20 peratus, Terengganu dijangka akan menjadi Kelantan kedua untuk terus mentadbir pemerintahan negeri.

"Jika BN dan UMNO tewas dan gagal menubuhkan kerajaan pada PRN nanti, Terengganu akan ketinggalan sama seperti Kelantan apabila tiada projek pembangunan bagi meningkatkan ekonomi rakyat sama seperti dialami negeri itu selepas PAS menguasai pemerintahan kira-kira 33 tahun.

"Ketiadaan pembangunan dilakukan di negeri itu menyebabkan ramai rakyat Kelantan terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki selepas tiada peluang pekerjaan disediakan di negeri itu," katanya dipetik.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, berkata pertukaran pentadbiran di negeri itu amat penting pada PRN akan datang supaya pembangunan negeri dapat diselaraskan dengan lancar bersama Persekutuan.

Pentadbiran negeri lebih baik seiring Persekutuan
Ahmad turut menjelaskan, kerajaan negeri dan Pusat perlu sealiran kerana pelbagai masalah akan timbul jika pentadbiran berasingan, terutama mengenai peruntukan.

"Kemenangan UMNO pada PRN nanti penting bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri selaras dengan Kerajaan Perpaduan yang mempunyai hubungan baik untuk menjamin lebih banyak peruntukan pembangunan disalurkan," jelasnya.

Post a Comment

0 Comments