'Sanusi tak nampak macam lahir dari tarbiah Pas' - Saifuddin


CIRI - CIRI
dimiliki Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak menggambarkan pemimpin berkenaan merupakan antara produk yang lahir daripada tarbiah parti Pas, kata Menteri dalam Negeri.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata, sikap ditonjolkan Sanusi jauh berbeza dengan keperibadian pemimpin-pemimpin Pas sebelum ini seperti Allahyarham Datuk Fadzil Noor, Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Nik Mat, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak dan beberapa pemimpin lain yang sangat dihormati.

"Dalam perjalanan Pas sejak 1951, (ada) banyak watak pemimpin, ada yang kami kekal hormat sampai sekarang, (antaranya) Datuk Ustaz Fadhil Noor, (Tan Sri) Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Almarhum Datuk Haji Haron Din, (dan) Tan Sri Ustaz Azizan Razak.

"Kita berbeza (parti) tetapi (perlu) jaga adab dan hemah, tetapi watak yang (satu) ini saya tengok macam bukan sebahagian daripada tarbiah Pas, tarbiah rohaniah, tarbiah rabbaniah, tarbiah ruhiyyah, saya tidak nampak ini adalah produk daripada siri tarbiah Pas yang berasaskan kepada tarbiah Quraniah

"Yang pelik, saya (juga) sebahagian daripada tarbiah itu dulu. Kalau setakat hadis, Quran, sirah, saya hafal benda seperti itu, dan daripada itu kita reti (tahu) waktu bila berbeza pendapat, choice of words itu, tetapi (pemimpin) yang ini saya tidak fikir produk yang genuine (asli) daripada Pas," ujar beliau.

Pemimpin tak seharusnya jadi 'penglipur lara'
Saifuddin berkata begitu ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran Jentera Pilihanraya Parti Keadilan Rakyat Negeri Kedah, di Pejabat Keadilan Kedah, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada Sabtu.

Sementara itu tambah Saifuddin, ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pemimpin terutama Menteri Besar adalah mempunyai visi yang jelas, berhemah, memberi keutamaan dalam menyelesaikan masalah rakyat selain tidak 'beraksi' sebagai seorang penglipur lara yang hanya memilih untuk popular di mata orang ramai.

Post a Comment

0 Comments