KENYATAAN Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat Muhammad Sanusi Md Nor yang mempertikaikan kedaulatan Pulau Pinang terus dikritik.
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Sharleena Abdul Rashid melalui satu kenyataan pada Jumaat menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kedah itu tidak lebih sekadar satu tindakan bagi mengalih perhatian rakyat terhadap kegagalannya mentadbir Kedah.
Jelas Sharleena, selain gagal memacu ekonomi Kedah, Sanusi cuba mengalih perhatian ramai daripada masalah air Kedah serta penebangan hutan yang menyebabkan banjir dan perubahan geografi Yan.
“Kekurangan penyelesaian jangka pendek dan sederhana kepada isu air, khususnya di kawasan Kuala Kedah, dikatakan bukti kegagalan kerajaan negeri di bawah pimpinan Sanusi.” jelasnya.
Muhammad Sanusi yang terkenal dengan kenyataan-kenyataan kontroversi pada Isnin menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah dan negeri itu hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.
Beliau mendakwa pihaknya tidak perlu mengambil kembali negeri itu kerana Pulau Pinang tidak pernah 'terlepas' dari Kedah.
Kenyataan itu dianggap ramai sebagai 'melampau' kerana dianggap mempersoalkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga kuasa diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Yang di-Pertua Negeri.
Susulan itu pada Khamis beberapa pemimpin termasuk bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membuat laporan polis susulan kebimbangan kenyataan Sanusi boleh menimbulkan keresahan dan mengganggu gugat ketenteraman awam dan membabitkan perasaan marah rakyat Pulau Pinang.
![]() |
Henti retorik, Sanusi digesa tumpu isu rakyat |
“Daripada mengeluarkan kenyataan seperti ini, lebih baik Sanusi memberi tumpuan kepada pentadbiran negerinya yang memerlukan perhatian sewajarnya,” katanya yang juga Adun Seri Delima.
0 Comments